Terengganu meraih mata penuh selepas menang 2-1 aksi Liga Super ke atas UiTM ini didedikasikan buat Petrus Shitembi yang bakal menjalani pembedahan ligamen lutut Selasa ini.

Pengendali pasukan, Nafuzi Zain mengakui tempang dalam separuh masa pertama sehingga menemui corak permainan dalam separuh masa kedua dengan membuat beberapa gantian pemain.

Dan akhirnya berjaya memperoleh dua jaringan daripada David da Silva minit ke-77 sebelum Hakimi Abdullah menjadi wira menjaringkan gol kemenangan 10 minit kemudian.

"Kami masih memerlukan kepantasan terutama di bahagian sayap, usaha melakukan pertukaran dalam separuh masa kedua ternyata berhasil," kata Nafuzi.

"Saya berpuas hati dengan kemenangan ini dan tahniah diucapkan kepada prestasi pasukan."

Bagi pengendali UiTM, Frank Bernhardt, mengibaratkan pasukannya seperti rumah yang roboh terutama sekali dalam separuh masa kedua.

Bernhardt turut tidak berpuas hati dengan prestasi penyerang importnya, Abou Bakr Al-Mel, yang mempamer aksi berbeza ketika dalam perlawanan persahabatan sebelum ini.

"Saya tidak boleh mengatakan apa-apa, prestasinya sangat berbeza berbanding apa yang mampu dipamerkannya," katanya.