Penggempur berbisa Selangor, Rufino Segovia, mengakui kejayaan berpasukan adalah lebih penting berbanding pencapaian peribadi setelah cemerlang membantu pasukannya mengikat Kuala Lumpur 3-3 menerusi jaringan hatrik, semalam.

Segovia sekali lagi mencetuskan sensasi apabila meledak hatrik dalam perlawanan Liga Super menentang pasukan bimbingan Fabio Maciel itu di Stadium KLFA, Cheras.

Ia merupakan jaringan hatrik ketiganya musim ini selepas melakukannya dalam pertemuan dengan Kelantan (Liga Super) pada 1 Jun lalu dan aksi Piala FA menentang PKNS FC, 23 Jun lalu.

Bagaimanapun, Segovia menegaskan pencapaian itu tidak bermakna sekiranya skuad Gergasi Merah itu menamatkan saingan liga di kelompok bawahan, musim ini.

"Keputusan buat pasukan lebih penting. Ya, selepas perlawanan, apa yang saya raih adalah sesuatu yang bagus tetapi ia tidak bermakna jika gagal mencapai kemenangan," katanya.

Sementara itu, pengendali Kuala Lumpur, Fabio Maciel, masih yakin terhadap kemampuan pasukannya untuk mengelak daripada penyingkiran liga walaupun keciciran mata.

Skuad Warga Kota itu kini memiliki kelebihan enam mata ke atas Kelantan yang menghuni tangga kedua tercorot liga tatkala saingan berbaki tiga perlawanan.

"Kelantan berdepan tiga aksi sukar dan kami juga akan terus memburu mata.

"Kami akan menghadapi dua perlawanan di laman sendiri dan satu di tempat lawan, jadi kami lebih berpeluang mendapatkan lebih banyak mata. Kami harus berehat dan mempersiapkan diri kerana selepas ini, segalanya sangat penting," ujar Maciel.