"Ini satu kemenangan buat peminat bola sepak Selangor," demikian ungkapan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon, berikutan keputusan Pesuruhjaya Sukan (PJS) yang membuat pengesahan kongres luar biasa (EGM) oleh 52 ahli gabungan pada 8 November lalu adalah tidak sah.

Dr Johan menarik nafas lega dengan jawapan PJS yang dilihat memudahkan perancangan FAS selepas ini dalam usaha transformasi bola sepak Selangor.

Malah, keputusan itu bukan sahaja disambut baik FAS tetapi majoriti bola sepak Selangor yang berdiri teguh di belakang Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Ia telah memberikan ketenangan buat kami dalam usaha menaikkan semula bola sepak Selangor. Selepas ini, kami dapat memberi fokus dalam tranformasi yang mahu dihasilkan," katanya.

Mengenai pendirian 52 ahli gabungan yang mahu menyaman RMS, Dr Johan mengambil pendirian enggan memberi sebarang kenyataan balas.

Menurutnya, dia tidak pasti atas asas apa lagi mereka mahu membawa perkara itu ke mahkamah ketika PJS sudah menyatakan jawapan.

"Kami sendiri tidak tahu bagaimana untuk memberikan maklum balas selepas tindakan kumpulan 52 ahli gabungan yang mahu menyaman FAS sedangkan PJS telah menjelaskan segala-galanya," katanya.

PJS menjelaskan EGM tersebut batal kerana telah melanggar salah satu statut FAS, iaitu tidak mengosongkan jawatan sedia ada sebelum mengadakan pemilihan baru.