Kemelut KLFA: FAM sedia jadi orang tengah

Oleh Staff Writer 28 November 2018 138
Kemelut KLFA: FAM sedia jadi orang tengah
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedia menjadi orang tengah mengatasi kemelut yang dihadapi Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) berhubung isu penangguhan kongres pemilihan ke-31 persatuan itu.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, menjelaskan pihaknya memandang serius isu yang turut membabitkan Pesuruhjaya Sukan Malaysia, Datuk Zaiton Othman, itu.

Beliau sendiri cuba menghubungi Zaiton bagi mengatur pertemuan dengan pihak KLFA, namun masih belum dapat direalisasikan ekoran kesibukan waktu kerja Zaiton yang kerap berada di luar Kuala Lumpur.

Ramalingam berkata pihaknya tidak mahu menyebelahi mana-mana pihak dalam isu itu, namun terpanggil untuk membantu kerana tidak mahu menjejaskan masa depan bola sepak Kuala Lumpur.

"Kami berharap dapat menjadi orang tengah untuk menyelesaikan kemelut itu memandangkan pihak KLFA masih berkeras terhadap keputusan yang dikeluarkan Pesuruhjaya Sukan.

"FAM mungkin dapat membantu kedua-dua pihak dalam menyelesaikan masalah yang timbul," katanya.

Kongres ke-31 KLFA sepatutnya berlangsung 18 November lalu, namun ditangguh atas arahan Pesuruhjaya Sukan ekoran aduan beberapa ahli gabungan yang tidak berpuas hati.

Menurut Ramalingam, pihaknya telah menubuhkan Jawatankuasa Resolusi bagi membendung masalah sama berulang pada masa akan datang.

"Kami membuat keputusan untuk menubuhkan Jawatankuasa Resolusi yang akan bertanggungjawab membantu menyelesaikan perebutan kuasa dalam ahli-ahli gabungan FAM," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen