Kemelut dalaman rugikan FAS, kata Asmawi 

Oleh Penulis Jemputan 13 Oktober 2018 246
Kemelut dalaman rugikan FAS, kata Asmawi 
Bekas pemain Selangor, Asmawi Bakiri, menyelar tindakan invidu yang cuba mewujudkan kekacauan dalam pentadbiran Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) sehingga ada usaha untuk menjatuhkan presiden, Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Semalam, Tengku Amir membuat pendedahan mengejut apabila mendedahkan terdapat gelombang untuk merampas kuasa dalam badan induk bola sepak negeri itu.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan, terdapat usaha untuk melancarkan Kongres Luar Biasa (EGM) bagi memilih keseluruhan exco baru, termasuk bagi jawatan presiden.

Asmawi melihat perkara itu sebagai sesuatu yang merugikan kem Selangor tatkala perubahan positif sedang giat dilakukan sejak Tengku Amir mengambil alih kerusi presiden, Julai lalu.

"Individu yang berasa tidak puas hati itu mahu EGM diadakan dan bagi saya, ia suatu tindakan yang akan merugikan semua pihak.

"Ia menyukar dan memperlekehkan perancangan yang diasaskan Raja Muda Selangor untuk bola sepak Selangor pada 2019," kata Asmawi.

Ketika ini, ahli exco sedia ada enggan memberikan sebarang komen mengenai isu itu. 

Asmawi menyarankan kedua-dua pihak agar duduk semeja memikirkan perancangan untuk menaikkan mutu bola sepak Selangor bagi musim depan serta tidak bertelagah sesama sendiri hanya kerana perebutan kuasa.

"Kedua-dua pihak perlu menyelesaikan perkara ini dengan lebih awal dan baik.

"Kemelut FAS seperti tidak pernah selesai kerana apabila adanya pengurusan baru, sentiasa ada perkara yang tidak betul berlaku," katanya.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen