Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mencapai kata putus mengenai status perlawanan Kelayakan Piala Asia di antara Korea Utara dan Malaysia apabila menunda perlawanan yang dijadualkan pada 28 Mac ini di Pyongyang.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini ini memohon kepada AFC untuk menukar venue perlawanan berkenaan berikutan ketegangan hubungan diplomatik di antara Pyongyang dan Kuala Lumpur.

Ia berikutan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak memberi kebenaran kepada FAM untuk menghantar skuad kebangsaan ke Pyongyang atas faktor keselamatan.

Ketegangan di antara Pyongyang dan Kuala Lumpur berpunca daripada kes pembunuhan seorang warga Korea Utara yang dipercayai abang tiri kepada pemimpin negara itu, Kim Jong-un, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) pada 13 Februari lalu.

AFC dalam kenyataan ringkas hari ini mengumumkan penangguhan perlawanan itu disebabkan peningkatan ketegangan hubungan diplomatik di antara Kerajaan Malaysia dan Korea Utara.

AFC dijangka akan mengumumkan tarikh baru perlawanan itu dalam masa terdekat.

"Inilah keputusan pertama (yang dicapai). Kami akan berbincang dengan kedua-dua pasukan untuk memilih tarikh yang sesuai.

"Harus diingatkan, ini adalah perlawanan antarabangsa, jadi tarikh perlawanan itu harus diadakan dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA)," kata Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, pula menyambut baik langkah itu dengan berkata, "FAM menyambut baik keprihatinan AFC dalam menangguhkan perlawanan di antara Malaysia dan Korea Utara di Pyongyang dengan venue dan tarikh baru akan diumumkan kemudian.

"Bagi FAM, ini adalah perkembangan baik dan kami akan tunggu pengumuman baru daripada AFC."

Menurut penolong jurulatih Malaysia, Brad Maloney, fokus Harimau Malaysia selepas ini adalah menghadapi perlawanan persahabatan dengan Filipina, 22 Mac ini.