Kelantan kini berada di kedudukan kedua tercorot dalam zon penyingkiran ke Liga Perdana selepas gagal melakar kemenangan ke atas PKNS FC dalam perlawanan kedua terakhir Liga Super di Kota Bharu, malam ini.

Kelantan, yang berkelebihan satu mata di depan Sarawak sebelum sepak mula, beraksi di bawah tekanan kerana tiada pilihan selain perlu menang ke atas PKNS bagi mengekalkan statusnya dalam liga utama negara, namun hanya berupaya meraih keputusan seri 0-0.

Apatah lagi, kedudukan semasa dalam waktu rehat, Kelantan sudah sebelah kaki berada dalam zon itu apabila dipintas Sarawak yang sedang mendahului Kedah 4-2 (keputusan akhir) di Stadium Negeri.

Serangan tidak kreatif dan gerakan yang mudah dibaca ketika berdepan barisan pertahanan pelawat, membuatkan skuad bimbingan Zahasmi Ismail itu terus kebuntuan gol.

Pada awal separuh masa kedua, Safee Sali yang tidak berada di kedudukan ofsaid, hampir menjaringkan gol, malangnya sepakannya tersasar ke sebelah kanan.

Selepas itu, Khairul Izuan Rosli membalas dengan dua percubaan berbahaya. Dia merebat deras dari luar kotak penalti tetapi mudah diselamatkan penjaga gol lawan, sebelum sekali lagi membuat lambungan yang melewati palang gol.

Jentera depan Kelantan yang turut dibarisi Mamadou Danso, Nor Farhan Muhammad, Indra Putra Mahayuddin dan Mohd Badhri Mohd Radzi nyata tidak mampu berbuat apa-apa ketika dihambat masa penamat.

Selain penyudah yang lemah, beberapa hantaran dari bawah yang tidak tepat termasuk daripada Mohd Daudsu Jamaluddin turut menyumbang kepada kegagalan mereka untuk mencari gol.

Sebaliknya, PKNS membuat siri percubaan berbahaya ketika masa kecederaan lima minit, termasuk rembatan daripada K. Gurusamy yang menggegarkan palang Kelantan.

Kini, tinggal satu lagi perlawanan bagi Kelantan dan Sarawak untuk menentukan kedudukan mereka dalam Liga Super.

Kelantan akan berdepan Melaka United sementara Sarawak akan menentang T-Team dalam perlawanan terakhir pada 21 Oktober depan.

Keputusan lain:

Melaka United 2-1 Selangor
T-Team 0-1 Pahang
Perak 1-0 P Pinang
Sarawak 4-2 Kedah