Kebimbangan peminat setia The Red Warriors (TRW) terlerai apabila Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengumumkan telah mengesahkan penyertaan untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan biarpun dihimpit masalah kewangan ketika ini.

Pemangku Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah, menjelaskan pihaknya telah menghantar permohonan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum tarikh tutup penyertaan yang berakhir pada 30 November.

“Secara teknikalnya, kami (KAFA) sudah selesaikan isu penyertaan TRW dalam Liga Malaysia musim depan, cuma Jawatankuasa Eksekutif sedang memikirkan pelbagai cara untuk mendapatkan tajaan,” katanya dalam sidang media pengumuman pelantikan ketua jurulatih TRW yang baharu di Kota Bharu, petang semalam.

Afandi juga merayu kepada semua pihak yang cintakan bola sepak negeri Kelantan supaya tampil membantu KAFA bagi memastikan persiapan skuad ini tidak terjejas dalam saingan yang lebih mencabar musim depan.

“Bendahari kita sedang menyiapkan anggaran perbelanjaan untuk musim depan. Paling kurang pun KAFA memerlukan hampir RM1 juta sebulan untuk membiayai segala perbelanjaan operasi.

“Dalam kesempatan ini, saya berharap semua pihak yang sayangkan bola sepak Kelantan untuk turut sama menghulur sumbangan bagi membolehkan kami membentuk sebuah pasukan yang mantap untuk memberi saingan yang lebih hebat musim depan,” katanya.

Terdahulu, Afandi mengumumkan keputusan KAFA untuk melantik bekas pengendali Kelab Bola Sepak Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) FC yang beraksi dalam Liga FAM, Zahasmi Ismail, sebagai ketua jurulatih TRW yang baharu dengan kontrak selama setahun.