Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Seri Afandi Hamzah mendedahkan Kelantan setakat ini tidak mempunyai dana mencukupi untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia 2017.

Afandi juga tidak menolak kemungkinan, Kelantan tidak akan beraksi dalam saingan Liga M musim depan berlandaskan kedudukan kewangan terkini KAFA.

KAFA akan mengadakan satu kongres khas bagi menentukan sama ada Kelantan sah menarik diri daripada saingan musim depan.

"Pihak bendahari KAFA telah di minta untuk menerangkan kedudukan kemampuan pasukan untuk menyertai Liga M 2017.

"Setakat semalam, Kelantan dilihat masih tidak mampu untuk menyertai Liga Malaysia berdasarkan kemampuan kewangan.

"Pihak exco meminta agar satu kongres khas dipanggil untuk membuat ketetapan mengenai perkara ini yang akan berlangsung pada hujung Disember ini," jelas Afandi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam menjelaskan jika Kelantan menarik diri, tiada pasukan tambahan dari Liga Perdana akan dinaikkan ke Liga Super pada saat akhir sekaligus timbul kemungkinan Liga Super musim depan hanya akan menyaksikan penglibatan 11 pasukan sahaja.

Jika Kelantan tidak beraksi musim depan dan mahu kembali pada musim berikutnya, Kevin menegaskan bahawa mereka perlu bermula daripada saingan Liga FAM.

"Jika mereka kembali, mereka tidak dibenarkan untuk bersaing di Liga Super, sebaliknya mereka perlu bermula daripada Liga FAM," ujar Kevin.