Hampir separuh pemain senior digugurkan dan tempat itu diisi pemain muda berbakat besar dalam usaha Kelantan untuk kembali menjadi pencabar utama dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Antara pemain utama yang dilepaskan termasuk pertahanan kental, Norhafiz Zamani Misbah, Mohd Daudsu Jamaludin, Zairul Fitree Ishak, S. Subramaniam, Mohamad Ab Aziz Ismail, Hasmizan Kamarodin, Hattaphon Bun An dan penjaga gol, Mohd Shahrizan Ismail.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Seri Afandi Hamzah, mengesahkan hanya 14 pemain, termasuk enam yang dipinjamkan kepada pasukan lain, telah dicadangkan oleh panel pemilih yang diketuai pemangku jurulatih, Sathit Bensoh, bagi menyarung jersi Kelantan musim depan.

“Pemain yang dikekalkan termasuk penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Farisham Ismail dan Mohd Faris Shah Rosli manakala lima pemain terbaik Piala Presiden juga dipilih menyertai skuad utama.

“Pemain yang dilepaskan bebas mencari pasukan baru. Untuk musim depan, kita beri peluang kepada pemain Piala Presiden dan boleh dikatakan majoriti skuad Liga Super Kelantan terdiri daripada pemain muda,” katanya.

Ditanya mengenai status tiga pemain ‘berpengaruh’ iaitu kapten, Mohd Badri Radzi, Mohd Norfarhan Muhammad dan Indra Putra Mahayuddin, Afandi menjelaskan perbincangan masih berjalan dan akan dimuktamadkan secepat mungkin.

“Kami masih berunding dengan tiga pemain ini. Harap ada keputusan dalam masa terdekat kerana skuad Kelantan dijadualkan memulakan latihan pada 20 November ini,” katanya.

Afandi juga mengumumkan hasrat KAFA untuk mengekalkan pemain import, Margoro Gomis, yang menunjukkan prestasi baik musim ini dan sedang menjalankan perbincangan untuk menamatkan kontrak Abou Bakr Al-Mel (Bako) dan Seydi L’Imam biarpun kontrak mereka masih ada sehingga tahun depan.

“Kami mahu cari pemain import berkualiti. Kami mahu kekalkan Gomis dan mencari persetujuan berkaitan penamatan kontrak Bako dan Seydi,” katanya.

Afandi juga mengesahkan Mohd Qayyum Marjoni Sabil akan menyertai pasukan lain dalam saingan Liga-M, musim depan.