Kelab Penyokong Terengganu FC (TFC) menerima baik saranan pihak kerajaan sekiranya saingan Liga Malaysia (Liga-M) tahun ini dibatalkan.

Menyifatkan langkah itu wajar demi kebaikan bersama, keputusan menyambung Liga-M tanpa kehadiran penonton pula akan membuat kejohanan itu hilang prestijnya.

Menurut presiden kelab berkenaan, Mohd Isa Che Ariffin, penyokong perlu memainkan peranan dengan bekerjasama untuk memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

Justeru, kenyataan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini, yang tidak membenarkan Liga-M disambung, disokong penuh kelab penyokong itu.

"Kerajaan melarang sebarang perhimpunan beramai-ramai dan sebagai penyokong, kami perlu akur walaupun memang nak sangat turun ke stadium.

"Jika beraksi dalam stadium kosong, kemeriahan Liga Super dan Liga Perdana dah tiada serinya lagi," kata Che Isa.

Dalam sidang media hariannya hari ini, Ismail Sabri membayangkan Liga-M tidak akan diteruskan sekalipun selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kenyataan Menteri Kanan itu hadir sehari selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memohon kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk meneruskan Liga-M.

"Pada hemah saya, saingan liga patut dibatalkan hingga negara kita betul-betul bebas daripada virus membunuh ini.

"Berkenaan kontrak, biar persatuan kelab dan FAM yang selesaikan," kata Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu (Peteh), Datuk Najmil Faiz Mohd Aris pula.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)