Kehadiran Ian Gillan di Stadium Negeri Sarawak cetus tanda tanya

Oleh Rudi Affendi Khalik 29 November 2017 579
Kehadiran Ian Gillan di Stadium Negeri Sarawak cetus tanda tanya
Di atas kertas, Pengiran Bala telah diumumkan sebagai ketua jurulatih baharu pasukan Bujang Senang pada musim depan.

Sama ada bermain dalam Liga Perdana atau Liga Super (Sarawak masih menunggu keputusan muktamad Persatuan Bola Sepak Malaysia), mereka pada awalnya hanya berminat untuk menggunakan sepenuhnya khidmat anak tempatan.

Sarawak bukan sahaja menggugurkan semua pemain importnya, malah tidak lagi menandatangani khidmat pemain regular bukan anak jati Sarawak, termasuk penjaga gawang, Mohd Shahril Sa'ari, biarpun pemain itu telah berkahwin dengan gadis Bumi Kenyalang pada tahun ini.

Ketika latihan sudah pun bermula tanpa tiga pemain muda utamanya yang mencuba nasib dengan kelab Liga FAM, PJ Rangers FC, Sarawak didatangi isu baharu.

Kehadiran bekas pengendali taktikal Kedah, Ian Gillan, di Stadium Negeri sejak seminggu lalu mencetuskan persoalan.

Tiada jawapan rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Sarawak mengenai perkara itu ketika ini, namun kehadiran Gillan diteropongi peminat. Laman sosial dalam kalangan peminat bola sepak Sarawak sudah mula riuh.

Gillan, 52, yang lahir di Aberdeen, Scotland, pernah mengendalikan kelab Australia, Perth Glory, selain menyelaras taktikal Kedah, sebelum ini.

Justeru, tidak hairanlah para peminat bola sepak negeri tertanya-tanya akan motif  pengendali Ilocos United ini berada di Stadium Negeri.

Adakah beliau dilantik sebagai pengarah taktikal baharu Sarawak atau sekadar membantu Pengiran Bala mencipta pasukan yang mantap pada musim depan?

Atau mungkin menjadi pengendali baharu Sarawak musim depan memandangkan kontrak baharu masih belum lagi ditandatangani secara rasmi oleh pemain dan jurulatih.

Untuk rekod, Gillan merupakan pemegang diploma Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) manakala penolong ketua jurulatih Sarawak ketika ini, Veloo a/l Sinnathamby, mempunyai ijazah sarjana dalam kejurulatihan bola sepak.

Tentang Penulis

Rudi Affendi Khalik

Komen