Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B. Sathianathan, berasakan pihak Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) perlu menyalahkan diri sendiri ekoran kegagalan Sathit Bensoh sebagai pengendali The Red Warriors.

Baginya, bukan saja faktor kelayakan seseorang jurulatih, malah pengalamannya juga perlu diambil kira sama ada sesuai atau tidak untuk mengendalikan pasukan seperti Kelantan.

"Dia semua ada, dia ada lesen. Mana-mana boleh dapat lesen. Cuma, pengalaman menjadi kriteria utama, terutama di Kelantan. Ia bukan mudah.

"Saya pernah menjadi jurulatih di sana kerana kita perlu tahu apa latar belakangnya. Siapa yang buat silap ini? Jurulatih? Bukan. Yang memilih jurulatih itu yang silap kerana keputusan di tangan pengurusan," kata Sathianathan.

Dalam masa sama, pemerhati bola sepak tempatan, Asmawi Bakiri, turut senada dengan Sathianathan, dengan menyifatkan sama ada pengendali import atau tempatan yang dipilih, pengendali yang memegang jawatan itu memerlukan perwatakan yang kuat.

Asmawi turut berasa persiapan pra-musim Kelantan di bawah kendalian Sathit tidak menjelmakan aksi yang meyakinkan.

"Kalau nama Datuk M. Karathu naik, adakah dia sesuai dengan senario di Kelantan, itu yang penting. Ia kerana Kelantan cukup-cukup berbeza dalam 12 pasukan ini.

"Jangkaan mereka tinggi, memiliki rekod cemerlang dan ada ramai pemain baik di sana. Saya rasa KAFA perlu membuat penilaian khusus terhadap jurulatih," ujar Asmawi.