Pengendali skuad B-19 negara, Bojan Hodak, menyifatkan Kedah sebagai pasukan yang sesuai buat Zafuan Azeman meneruskan kerjaya profesionalnya.

Penyerang muda Perlis itu sebelum ini memberi gambaran di laman sosial Istagram peribadinya bahawa dia akan ke Kedah untuk saingan musim depan.

Bagi Hodak, Kedah dilihat sebagai pasukan yang sesuai kerana berbeza dengan pasukan lain, skuad Lang Merah itu kerap memberikan peluang buat pemain-pemain muda untuk beraksi dalam skuad utamanya.

“Saya rasa Kedah adalah sebuah pasukan yang sering mengetengahkan pemain-pemain muda dan membangunkan bakat-bakat hebat daripada skuad pembangunan, jadi ia satu langkah yang baik untuk Zafuan,” katanya.

Hodak turut menyifatkaan Zafuan sebagai penyerang yang mempunyai fizikal yang baik dan mampu bersaing dalam skuad utama.

Bagaimanapun, ia juga bergantung kepada secepat mana Zafuan dapat menyesuaikan diri dengan pemain-pemain lain dalam skuad utama Kedah.

Jika tidak mendapat waktu bermain yang banyak dengan skuad utama Kedah, Zafuan perlu juga beraksi dengan skuad Piala Presiden bagi membolehkannya bersedia untuk KejohananAFC B-19 di Indonesia, Oktober tahun depan.

“Kini segala-galanya terserah kepadanya untuk menyesuaikan diri dengan cepat atau tidak kerana kali ini ia melibatkan peringkat yang lebih tinggi.

“Sudah tentu dia perlu bekerja lebih keras untuk beraksi dalam Liga Super dan mendapatkan peluang untuk bermain, bermula daripada skuad Piala Presiden,” tambahnya.