Pemerhati bola sepak negara, Datuk Richard Scully, meramalkan Kedah antara pasukan yang mampu menguasai kelompok tiga terbaik Liga Super menjelang saingan Liga Malaysia yang akan membuka tirai pada Januari.

Ramalan tersebut bukan dibuat berdasarkan kejayaan Kedah menjuarai Piala Malaysia musim ini tetapi Richard melihat perubahan dan corak permainan Kedah mampu memberi impak besar.

Malah, tambahnya, tidak keterlaluan jika dikatakan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Felda United bakal berdepan cabaran sengit dalam perebutan kejuaraan biarpun Kedah baru memasuki musim kedua dalam Liga Super musim depan.

Kecemerlangan skuad Lang Merah turut mendapat pengiktirafan dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2016 selepas Rizal Ghazali membawa pulang trofi Pemain Pertahanan Terbaik sementara pengendali, Tan Cheng Hoe, dinobat Jurulatih Terbaik 2016.

"Saya percaya itu adalah pencapaian terbaik bagi seseorang jurulatih dalam tempoh tiga tahun berjaya meraih kejuaraan berprestij.

"Faktor itu membuktikan Cheng Hoe memiliki tahap kesabaran yang tinggi," ujar Richard yang ditemui di kediaman keluarganya sempena sambutan Hari Natal hari ini.

Sempena sambutan itu, bekas penjaga gol kebangsaan itu berkata selepas melewati jadual harian yang padat, saat berkumpul bersama keluarga adalah yang paling bernilai daripada segala-galanya.

"Lapan hingga sembilan bulan tidak dapat berjumpa dengan keluarga susulan terikat dengan tugas. Jadi saya gunakan masa ini untuk meluangkan masa terbaik dengan keluarga," tambahnya.