Demi merealisasikan suatu kemenangan, jurulatih Kedah, Ramon Marcote, terpaksa mempertaruhkan pemain tengah import, Sandro Da Silva, selepas situasi untuk mencari kelebihan tampak begitu genting dalam aksi menentang PKNS FC, semalam.

Kesudahannya, skuad Hijau Kuning menang 4-3 di Stadium Shah Alam.

Sandro belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut, namun terpaksa berdepan risiko kecederaan berulang demi mengutip kemenangan kedua Kedah pada musim ini

Dia yang menjalani pembedahan lutut sebelum saingan liga bermula rela dipertaruhkan ketika Kedah ketinggalan 1-2 di belakang PKNS.

"Sandro berehat selama tiga atau empat hari, jadi sudah tentu tahap kecergasannya tidak berada pada aras penuh. Selepas kami berbincang, lebih baik kami menurunkannya dalam babak kedua.

"Apabila perkara sebegini berlaku dalam bola sepak, pemain-pemain dapat menerimanya kerana kami berjuang untuk pasukan," ujar Marcote.

Kelegaan jelas di wajah Marcote apabila dia memilih untuk bertenang sebagai kekuatan buat Kedah kembali bangkit selepas melewati pembukan musim 2018 dengan langkah kiri.

Dalam masa sama, pengendali PKNS, Datuk K. Rajagobal, terpaksa akur kegagalan semalam menafikan peluang pasukannya untuk terus menghuni takhta liga.

Ketiadaan dua tonggak utama, iaitu Safee Sali dan pertahanan, Zachary Anderson, disifatkan sebagai antara punca PKNS tewas di laman sendiri.

"Kami memerlukan ketua yang bagus dan dalam tiga aksi sebelum ini, Zachary membuktikan dia boleh mengetuai barisan pertahanan. Kami perlu perbaiki aspek di bahagian benteng," kata Rajagobal.