FELDA UNITED 2 SARAWAK 0

Sarawak menjadi mangsa kebangkitan Felda United selepas kemarau kemenangan dalam enam perlawanan terakhir Liga Super apabila The Fighters merakamkan kemenangan 2-0 di Stadium Tun Abdul Razak, malam ini.

Tiga mata pertama sejak di bawah pengendalian B. Sathianathan menyaksikan mereka melonjak ke tangga ketujuh carta liga, yang menyaksikan Kedah mengukuhkan cengkaman di tangga teratas dengan kemenangan 4-0 ke atas Melaka United di Alor Setar.

Kelantan pula menamatkan badi di gelanggang sendiri hasil kemenangan 4-2 ke atas T-Team, yang turut menyaksikan penyerang, Mohammed Ghaddar, menjaringkan hatrik dalam perlawanan kedua berturut-turut.

Sambil itu, Mehmet Durakovic meraih tiga mata sulungnya dalam perlawanan ketiganya selaku jurulatih Perak apabila menundukkan Selangor 1-0 di Selayang.

Di Jengka, kedua-dua pasukan mencipta peluang seimbang dan hanya ketajaman di barisan serangan menjadi pemisah di antara mereka.

Selepas babak pertama berakhir 0-0, Sarawak nyaris di depan pada minit ke-50, namun rembatan Dalglish Papin Test belum cukup ampuh untuk menewaskan Farizal Harun.

Berselang empat minit, pemain import Felda United, Lucas Cano, menebus kehampaan awalnya dengan menghukum pertahanan Sarawak menerusi rembatan leret ke penjuru kanan pintu Sarawak untuk gol pertama.

Anak buah B. Sathianathan semakin selesa untuk mengawal rentak permainan dan menghasilkan gol kedua menerusi sentuhan Hadin Azman.

Pemain sayap kanan itu bijak mencari posisi selesa untuk memerangkap pertahanan Ngap Sayot, sebelum melakukan larian deras dan melepaskan rembatan padu untuk membuat Sarawak semakin derita.

Dalam 10 minit terakhir, kealpaan benteng tuan rumah nyaris menjerat mereka.

Ketua pasukan Felda, Shukor Adan, agak leka sehingga membenarkan bola dicuri dari kakinya, mujur Farizal sudah bersedia untuk menghalang percubaan Mark Hartmann.

Pada masa kecederaan, gawang Felda dibolosi tetapi pengadil membatalkannya kerana ofsaid.

Sementara itu, aksi sebelah petang tadi menyaksikan PKNS FC terpaksa berpuas hati untuk berkongsi mata dengan pasukan di tangga tercorot, Pulau Pinang, selepas perlawanan berkesudahan 1-1.

Gol tandukan Nigel Dabinyaba pada awal babak kedua permainan memadam kelebihan awal tuan rumah yang berada di depan menerusi jaringan Patrick Ronaldinho Wleh.

Terlebih dahulu, penalti yang dihadiahkan pada minit ke-12 gagal dimanfaatkan PKNS untuk memecah kebuntuan perlawanan apabila sepakan kencang Matias Hadwa melewati palang gol.

Keputusan seri ini merupakan mata kedua buat Pulau Pinang dalam dua perlawanan terakhir mereka, selepas tumpas dalam enam aksi awal.

KEPUTUSAN LAIN:

KEDAH 4 MELAKA UNITED 0

KELANTAN 4 T-TEAM 2

SELANGOR 0 PERAK 1



Kredit imej: Felda United