Masa depan Aidil Sharin Sahak bersama Kedah terus jadi tanda tanya selepas membantu skuad Lang Merah menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua.

Ketika Aidil menanti perancangan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) untuk dirinya, bekas ketua jurulatih 'double treble' Kedah, Azraai Khor, pula menyifatkan prestasi cemerlang Aidil bersama Kedah tidak boleh dipertikaikan.

"Pengurusan yang baik sentiasa mengekalkan pengendali yang baik. Hubungan antara pengendali dan persatuan agak positif dan berasakan dia seorang yang berpotensi untuk mendapatkan kegemilangan bersama Kedah," kata Azraai.

Azraai juga mendedahkan bagaimana KFA pernah memberi tawaran yang kurang memuaskan kepadanya selepas Kedah memenangi treble buat kali kedua pada penghujung tahun 2008, dan berharap situasi sama tidak dihadapi Aidil.

"Aidil seorang pengendali yang muda dan memiliki azam yang tinggi untuk berjaya. Saya berasakan dia perlu diberikan peluang untuk terus membimbing Kedah," katanya lagi.