KBS tidak akan terburu-buru laksana Fasa 5, Fasa 6 sektor sukan, rekreasi 

Oleh Bernama 18 Julai 2020 308
 KBS tidak akan terburu-buru laksana Fasa 5, Fasa 6 sektor sukan, rekreasi 
Kementerian Belia dan Sukan (KBS)  tidak akan terburu-buru untuk melaksanakan fasa kelima dan keenam sektor sukan dan rekreasi, terutama membenarkan kehadiran penonton dalam mana-mana kejohanan bagi mengelakkan penularan pandemik COVID-19 yang masih berlaku di negara ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata walaupun kerajaan sudah memberi lampu hijau mengenai penganjuran pertandingan termasuk saingan Liga Malaysia (Liga-M), pihak kementerian harus berhati-hati dalam membuat keputusan bagi mengelakkan wujudnya ‘kluster sukan’.

Fasa 5 sektor sukan dan rekreasi merujuk kepada kehadiran penonton ke stadium dengan skala kecil dan Fasa 6 pula ialah kehadiran penonton ke stadium dengan skala besar serta penyertaan atlet luar negara dalam kejohanan tempatan.

Reezal Merican memaklumkan sektor sukan dan rekreasi merupakan sektor yang memberi kebenaran secara berperingkat untuk membolehkan aktiviti sukan bersambung semula susulan penularan pandemik COVID-19 ketika ini.

“Saya (pernah) dahulu kata bahawa, ‘exit and entry points’ untuk bola sepak ada tiga atau empat, mungkin kami boleh sediakan prosedur operasi standard, namun tidak ada lagi di dunia yang telah membenarkan kejohanan atau perlawanan bola sepak, yang mempunyai penonton.

“Jadi, saya fikir kami mulakan secara berperingkat dan beransur-ansur. Kami tak mahu buka terlalu cepat, akan berlaku kenaikan mendadak penularan (kes COVID-19) dan akhirnya (wujud) kluster sukan yang menghakis keyakinan bukan sahaja rakyat, tetapi juga pihak kerajaan untuk memberi kebenaran kepada kami (beroperasi semula),” katanya.

Reezal Merican berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri dialog bersama persatuan sukan kebangsaan, yang diadakan bersempena Mesyuarat Majlis Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia ke-193, di Wisma MOM di Kuala Lumpur, hari ini.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pelaksanaan fasa ketiga sektor sukan dan rekreasi, yang berkuatkuasa bermula Rabu lalu, menyaksikan aktiviti sukan dan rekreasi bersentuhan fizikal selain penganjuran kejohanan dan pertandingan tempatan untuk sukan tiada bersentuhan fizikal tanpa penonton dibenarkan.

Fasa 4 yang bermula 15 Ogos depan akan membenarkan penganjuran kejohanan dan pertandingan tempatan untuk sukan bersentuhan fizikal tanpa penonton, antaranya saingan Liga-M.

Dalam perkembangan berasingan, Reezal Merican memaklumkan satu pasukan petugas akan diwujudkan dalam tempoh terdekat, bagi mengkaji semula keberkesanan Program Podium yang dimulakan pada 2015.

Beliau menjelaskan pasukan petugas khas yang diwujudkan bagi merealisasikan hasrat Malaysia meraih pingat emas sulung pada Sukan Olimpik itu, akan diketuai bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Ramlan Abd Aziz, untuk menilai semula struktur program berkenaan.

Ditanya mengenai Program ‘Road to Tokyo’ (RTT) 2020, Reezal Merican berkata program berkenaan akan diteruskan seperti biasa di bawah pengawasan Majlis Sukan Negara dan ISN.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen