Kami tidak diberikan kata putus, kata Setiausaha Kehormat PKNS

Oleh Staff Writer 29 November 2016 9
Kami tidak diberikan kata putus, kata Setiausaha Kehormat PKNS
Setiausaha Kehormat PKNS, Mohd Adi Harmizi Ariffin, masih belum menerima sebarang keputusan rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) berhubung pendaftaran pasukan bagi saingan Liga Malaysia musim 2017.

Masa semakin suntuk buat PKNS yang berhadapan dengan isu pendaftaran pasukan, di mana mereka belum mendapat sebarang pengesahan daripada FAS walaupun tarikh akhir penyertaan berakhir esok.

Adi menegaskan, dia telah mengemukakan surat rayuan dengan melabelkan pertemuan dengan FAS hari ini berlangsung dalam situasi harmoni.

Katanya, pihak PKNS mengharapkan satu keputusan positif mampu dilakukan barisan Exco FAS dalam masa terdekat.

"Dalam pertemuan itu, kami tidak diberikan sebarang kata putus. Maksudnya, pihak FAS menyatakan perkara ini (akan dibawa) ke peringkat Exco FAS dan akan dibincangkan. Sebarang keputusan akan dimaklumkan pada kadar segera," katanya.

Berikutan isu yang melanda PKNS ketika ini, beberapa pemain yang sudah menandatangani kontrak mula risau dengan nasib mereka untuk saingan musim hadapan.

"Jadi, apabila berlaku perkara sebegini, sudah tentu akan melahirkan kebimbangan di kalangan pemain tetapi kami ambil perkara ini secara positif. 

"Sokongan kami kepada FAS memang tidak berbelah bahagi. Kami juga berharap rayuan kami diterima dan keputusannya kami akan terima, mungkin hari ini atau esok.

Tarikh akhir penyertaan pasukan akan berakhir esok, di mana FAS memiliki masa kurang sehari sebelum membuat keputusan tepat.

Penyertaan PKNS dalam saingan musim depan menimbulkan tanda tanya apabila FAS enggan memberi sokongan kepada kelab itu. 

Mengikut Peraturan Pertandingan 4.1.3 (i) Peraturan Pertandingan Liga M 2013-2016, kelab memerlukan sokongan persatuan bola sepak negeri sebagai syarat penyertaan. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen