Bek kanan Terengganu FC (TFC), Mohd Kamal Azizi Zabri, sedia mengawasi kelibat pemain sayap Melaka, Patrick Reichelt, dalam aksi kedua-dua pasukan itu Sabtu ini.

Status Reichelt selaku penjaring terbanyak Liga Super dengan lapan gol tidak merisaukan Kamal yang menuntut komitmen 100 peratus daripada rakan-rakan sepasukannya.

Menurutnya, tiga mata menjadi sasaran utama TFC untuk memintas Melaka di tangga keempat selain mengulangi kemenangan dalam pusingan pertama.

"Kami perlu beraksi mengikut percaturan jurulatih memandangkan kami juga mahu membaiki kedudukan liga.

"Jika menang tipis 1-0 sekalipun, ia sudah memadai bagi TFC selaku pasukan pelawat kerana apa yang penting adalah tiga mata," jelas bekas tonggak T-Team itu.

Berhasrat menyarung jersi negara, Kamal dijangka berada dalam kesebelasan utama dan ditugaskan merantai pergerakan pemain import dari Filipina berkenaan serta Mohd Nazrin Nawi di bahagian sayap.

TFC memiliki rekod baik di Stadium Hang Jebat yang menyaksikan mereka menang 3-0 di gelanggang itu, musim lalu.

Dalam aksi pusingan pertama, Mac lalu, TFC turut mencatatkan kemenangan 3-0 hasil jaringan Nasrullah Haniff Johan, Sanjar Shaakhmedov dan Ahmad Syamim Yahya.