Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) tidak berdiam diri untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji bekas pemain Kelantan dalam usaha persatuan itu mendapatkan lesen kelab bagi beraksi pada saingan Liga Malaysia musim depan.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan, berkata sehingga kini pihaknya sudah 70 peratus melangsaikan tunggakan gaji pemain yang berjumlah RM2.6 juta kepada bekas pemain yang melibatkan pemain import dan tempatan yang beraksi di antara 2015 dan 2017.

"Bukan kami tidak mahu bayar bakinya (tunggakan), namun biarlah ada sikap tolak-ansur, terutama ketika persatuan mengalami tekanan kewangan ketika ini.

"Berilah kami ruang untuk menyelesaikan masalah ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini bagi mengulas laporan sebuah akhbar hari ini iaitu KAFA diingatkan tidak lepas tangan isu pembayaran gaji bekas pemain Kelantan.

"Kami cuba untuk selesaikan, namun ada kumpulan bekas pemain ini membuat laporan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM).

"Daripada laporan itu, kami mendapati jumlah tuntutan berbeza dengan rekod persatuan, oleh itu mereka perlu datang berbincang dengan KAFA,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pihak KAFA berterima kasih kepada beberapa bekas pemain Kelantan yang terlibat dengan masalah tunggakan gaji memahami masalah yang dihadapi persatuan.

-- BERNAMA

Imej: Asiana