Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengesahkan menerima tajaan sebanyak RM2 juta daripada beberapa penaja dalam usaha mempersiapkan skuad The Red Warriors (TRW) menghadapi saingan sengit Liga Malaysia (Liga-M) tahun depan.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani IIias Khan, menjelaskan tajaan itu merangkumi segala bentuk seperti kewangan, logistik dan kelengkapan jersi pasukan.

“Alhamdulillah, hari ini kita menerima tajaan daripada penaja baharu, iaitu Syarikat Al-Quds Umrah & Tours yang akan membantu kita daripada segi tiket penerbangan dan penginapan apabila beraksi di gelanggang lawan.

“Kita juga masih menerima tajaan daripada rakan niaga KAFA, iaitu Excel Print & Copy Center, Pakaq Gomo Gymnasium, Exa Supply & Services Sdn Bhd dan Klinik Mesra,” katanya selepas menandatangani Perjanjian dan Memorandum Persefahaman (MoU) Penajaan Penaja dan Rakan Niaga di Kota Bharu, petang semalam.

Ditanya mengenai penaja utama yang masih belum diumumkan, Bibi Ramjani menerangkan pihaknya masih mengadakan rundingan terakhir bagi mencapai persetujuan bersama, terutama daripada segi nilai tajaan.

“KAFA masih berunding dengan syarikat automotif dan kewangan sebagai penaja utama tahun ini. Kita minta mereka (penaja) tambah sedikit lagi nilai tajaan dan Insya-Allah, jika semuanya selesai, kita akan umumkan secepat mungkin,” katanya.

Dalam majlis yang sama, Bibi Ramjani mengumumkan kesediaan dua penaja musim ini, iaitu Yakult Malaysia Sdn Bhd dan Rohm Wako Electronic (Malaysia), meneruskan tajaan bersama KAFA.

“Mereka (kedua-dua syarikat) akan memberikan keputusan pada 10 Disember ini dan rundingan berjalan dengan lancar,” katanya.