Gara-gara masalah kewangan yang kritikal, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) masih belum memutuskan status penyertaannya dalam Liga Malaysia (Liga-M) 2017, sebaliknya menyerahkan kepada kongres khasnya di Pengkalan Chepa, 29 Disember ini.

Pemangku Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah, menjelaskan pihaknya masih gagal mendapatkan jumlah tajaan yang mencukupi untuk mengharungi musim 2017 dan mengharapkan bantuan kewangan daripada pihak yang berkemampuan demi kelangsungan bola sepak Kelantan.

“Daripada penjelasan Bendahari KAFA, Nik Aminaldin Jaafar, setakat ini Kelantan berada dalam kedudukan tidak mampu untuk menyertai Liga Malaysia 2017 berdasarkan kemampuan kewangan yang ada.

"Untuk makluman, kami sekadar mendapat tajaan sekitar RM800,000 dan masih jauh daripada sasaran awal RM15 juta.

“Inilah keputusan yang kami persetujui dan usul tersebut akan dibawa kepada kongres yang akan bersidang pada 29 Disember nanti.

"Kongres akan putuskan secara muktamad status penyertaan Kelantan dalam Liga Malaysia musim depan,” katanya dalam mesyuarat khas KAFA di Majlis Sukan Negeri (MSN), malam tadi.

Afandi juga menyifatkan secara teknikalnya Kelantan sudah mengesahkan penyertaannya kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada akhir November lalu, namun faktor kewangan yang mencukupi akan menjadi faktor utama bagi membolehkan The Red Warriors (TRW) beraksi.

“KAFA memang mengharapkan bantuan daripada semua pihak untuk membolehkan kelangsungan penyertaan dalam Liga Malaysia.

“Kami (KAFA) sendiri berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari penaja, termasuk akan mengadakan perjumpaan rasmi dengan kerajaan negeri dan memohon tajaan daripada kerajaan persekutuan sebagaimana biasa,” katanya.

Ditanya bagaimana nasib pemain jika KAFA terpaksa menarik diri akibat gagal mendapatkan jumlah tajaan secukupnya, Afandi enggan mengulas, sebaliknya memohon semua pihak bersabar dan menunggu keputusan yang akan diambil oleh kongres khas KAFA nanti.

“Kami masih ada masa (sebelum kongres khas) untuk mencari penaja utama bagi membiayai TRW musim depan. Buat masa ini, latihan pasukan berjalan seperti biasa sehingga ada satu ketetapan yang akan dibuat dalam kongres itu nanti,” katanya.

Turut sama hadir dalam mesyuarat khas tersebut ialah Naib Presiden, Muhammad Nasir Hamzah dan Datuk Rosmadi Ismail, Setiausaha Agung, Datuk Ismail Mohd Noor, serta Bendahari, Nik Aminaldin.