Kongres Luar Biar Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) kekal dengan keputusan menarik diri daripada Liga Malaysia (Liga M) 2017 seandainya masih tiada sebarang penaja utama berminat untuk menaja pasukan Pantai Timur itu dengan tempoh yang diletakkan sehingga 9 Januari depan.

KAFA memutuskan untuk menarik diri kerana tidak mampu menyediakan dana yang mencukupi untuk pengurusan skuad Kelantan dalam menghadapi saingan Liga M musim 2017.

Setiausaha KAFA, Datuk Ismail Md Noor, berkata mesyuarat khas exco KAFA yang diadakan malam kelmarin sudah mengambil kata sepakat bahawa Kelantan sudah tidak mampu dan terpaksa menarik diri musim hadapan.

Berita gembira yang diharapkan, namun penyokong Kelantan perlu mula menelan hakikat kemungkinan Kelantan tiada saingan liga musim depan.

Sehingga kini, tiada sebarang penajaan utama yang mampu menyelamatkan Kelantan walaupun bertebaran di media sosial beberapa pihak mula menampakkan minat mereka.

Tegas Pemangku Presiden KAFA, Datuk Seri Affandi Hamzah, belum ada sebarang pendekatan rasmi dari mana-mana pihak yang bersedia untuk menaja Kelantan ketika ini.

"Sehingga kini, belum ada rundingan secara rasmi diadakan. Justeru, saya harap pihak penaja yang berminat untuk tampil mengadakan rundingan," katanya.

Walaupun bersedia dengan penarikan diri, barisan exco KAFA tetap menagih ruang penajaan untuk KAFA sebelum tarikh akhir pendaftaran Liga M, 9 Januari depan.

"Pihak kongres mengambil ketetapan pada dasarnya, bersetujulah (untuk menarik diri) kalau tak mampu.

"Tapi dalam masa yang sama, ahli kongres diminta untuk terus berusaha mendapatkan penajaan sehingga tarikh akhir."

Sebelum ini, mesyuarat khas exco KAFA pada 15 Disember lalu memutuskan untuk menarik diri berikutan tidak mampu menyediakan dana mencukupi untuk pengurusan skuad Kelantan bagi saingan musim 2017.