KAFA pilih Zahasmi ketua jurulatih TRW yang baharu

Oleh Staff Writer 30 November 2016 5
KAFA pilih Zahasmi ketua jurulatih TRW yang baharu
Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengumumkan pelantikan Zahasmi Ismail sebagai ketua jurulatih baharu The Red Warriors (TRW) menggantikan Velizar Popov dalam sidang media di pejabat badan induk itu, petang tadi.

Pemangku Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah, menjelaskan pemilihan bekas ketua jurulatih Kelab Bola Sepak Kementerian Kewangan (MOF) FC itu dibuat berdasarkan pengalamannya selain yakin beliau mempunyai keupayaan memikul tanggungjawab berat untuk mengembalikan semula kehebatan TRW dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

“Jawatankuasa Eksekutif KAFA telah bersidang baru-baru ini dan membuat keputusan untuk menawarkan kontrak setahun (hasil persefahaman bersama) kepada Zahasmi Ismail untuk kembali membimbing TRW bagi menghadapi saingan Liga Super musim depan.

“Selain mempunyai pengalaman yang diperlukan, pemilihan Zahasmi juga dianggap tepat kerana beliau anak kelahiran negeri ini yang mempunyai semangat juang yang tinggi selain pernah memangku jawatan (ketua jurulatih) pada 2015,” katanya.

Afandi juga menegaskan Zahasmi diberi kuasa penuh memilih pemain yang dikehendakinya dan juga menyiapkan secepat mungkin perancangan untuk TRW musim depan.

“Kami beri kuasa penuh kepadanya untuk tentukan hala tuju pasukan, khususnya dari sudut teknikal seperti latihan dan pemilihan pemain serta program pembangunan keseluruhan. Selebihnya akan dibantu oleh pihak pengurusan Kafa,” katanya.

Pelantikan Zahasmi tentunya menggembirakan penyokong setia TRW yang mahukan seorang jurulatih yang mempunyai aura tersendiri untuk membawa TRW kembali menjadi kuasa utama bola sepak negara dalam Liga Super.

Jurulatih berusia 49 tahun ini mempunyai pengalaman luas dalam bidang kejurulatihan apabila pernah berganding bahu bersama Norizan Bakar, B. Sathiananthan, Bojan Hodak dan Steve Darby.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen