Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akhirnya akur menyelesaikan beberapa dokumentasi yang masih belum diserahkan kepada Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) bagi memastikan import terbaru mereka mampu didaftarkan sebelum 11 Jun ini.

Pemangku Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah, berkata, mereka telah mendapat gambaran jelas terhadap kekeliruan sebenar yang berlaku di antara kedua-dua pihak.

Kini, mereka hanya ada masa seminggu untuk menyelesaikan isu dokumentasi melibatkan surat pembayaran gaji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), PERKESO dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Sekiranya lengkap, barulah FMLLP bersedia untuk berunding kembali mengenai pendaftaran penyerang import terbaharu dari Perancis, Seydi L'imam.

"Akhirnya kami telah mencapai kata sepakat bahawa ada beberapa dokumen yang akan kami kemukakan kepada FMLLP.

"Jadi, kami memberikan pandangan dan berkongsi atas apa yang berlaku," kata Afandi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam, menjelaskan pihaknya sedia mempertimbangkan rayuan pengurangan pemotongan mata yang dikenakan terhadap KAFA.

Bagaimanapun, segalanya bakal bergantung kepada dokumen yang akan diserahkan selain keputusan Lembaga Pengarah FMLLP.

"Kalau kami ada menerima sebarang rayuan dan dokumen yang lengkap daripada pihak KAFA, saya akan membawa rayuan itu kepada pihak lembaga.

"Tetapi saya tidak boleh kata sama ada rayuan itu bakal diterima atau tidak, segalanya bergantung kepada Lembaga Ppengarah," jelas Kevin.

Drama di antara kedua-dua pihak semakin tegang apabila FMLLP menjelaskan arahan sekatan perpindahan pemain akan berkuatkuasa selepas KAFA gagal menyelesaikan pembayaran perkara-perkara wajib.