Bekas tonggak tengah Selangor, Shahril Arsat, berasakan calon jurulatih tempatan mempunyai kelebihan untuk memacu skuad Gergasi Merah pada musim 2019 berbanding tiga lagi calon jurulatih import.

Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menyenaraipendekkan empat calon untuk mengendalikan Selangor musim depan selepas mereka gagal mendapatkan semula khidmat Mehmet Durakovic.

Ia membabitkan seorang jurulatih tempatan dan tiga jurulatih asing, namun FAS enggan mendedahkan identiti keempat-empat calon itu.

Difahamkan calon tempatan ialah B. Sathianathan manakala jurulatih asing terdiri daripada muka baru yang tidak pernah melatih mana-mana pasukan tempatan.

"Tiada masalah untuk memilih sesiapa yang bakal mengendalikan Selangor tetapi perkara utama adalah membentuk semula pasukan tersebut," kata Shahril.

FAS tetap akan mengadakan pemilihan segera dengan memutuskan perkara itu selewat-lewatnya minggu depan bagi membolehkan skuad mantap dibentuk dalam tempoh terdekat.