Tiga kali permohonan untuk masuk ke Malaysia ditolak sebelum usaha kali keempat diterima, jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak, tetap cekal mencari penyelesaian bagi masalah gaji yang berlarutan sejak Mac lalu.

Namun, sehingga ke saat ini, percubaan pengendali dari Singapura itu untuk bertemu Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Mohd Sanusi Md Noor, belum berhasil.

"Sebagai jurulatih, saya ingin mengenali bos (presiden) baru.

"Semestinya kami perlu berjumpa atau (mengetahui) apa sahaja perancangan mereka sejurus mereka mengambil alih (tampuk kepimpinan).

"Tempoh presiden lalu sudah berakhir dan kini adanya presiden baru.

"Hasrat saya kembali ke Malaysia adalah untuk mengadakan sesi latihan pasukan sambil cuba bertemu dengan presiden baru.

"Tetapi setakat ini, (belum berhasil) kerana mungkin beliau sedang sibuk," katanya ketika bertemu wartawan Nadi Arena, Norsyarafina Nasrom di ibu negara, hari ini.

? WELCOME BACK RENAN ALVES! Pemain import dari Brazil, Renan Alves kembali melaporkan diri bersama pasukan pada sesi...

Posted by FA Kedah on Monday, July 27, 2020


Kesan tanpa gaji sejak lima bulan lalu itu juga memberi derita buat barisan Lang Merah sehingga ada yang dihalau keluar dari rumah sewa.

"Kalau dilihat daripada segi angkanya itu memang membimbangkan, lima bulan tanpa gaji bukan perkara yang mudah.

"Pemain juga ada masalah keluarga masing-masing, dua daripadanya akan menyambut cahaya mata baru dan memerlukan wang.

"Pemain yang datang dari luar Kedah juga kasihan kerana lebih banyak wang yang perlu dikeluarkan.

"Dengan penularan COVID-19, tuan rumah sewa juga berasa risau dengan situasi kem Kedah ini.

"Banyak faktor yang kami hadapi," tambahnya.

Aidil turut tidak lokek untuk mengeluarkan duit poketnya sendiri bagi memastikan anak-anak buahnya tetap meneruskan perjuangan di sebalik dugaan yang mereka hadapi sejak awal musim ini lagi.

"Bagi saya yang berperanan sebagai bapa dalam pasukan ini, saya hanya buat yang terbaik untuk pasukan.

"Apa yang penting, saya mahu mereka turun berlatih dengan keadaan 100 peratus.

"Pemain senior seperti Baddrol Bakhtiar dan Zaquan Adha Abdul Radzak juga banyak menghulurkan bantuan terhadap keperluan pemain muda.

"Alhamdulillah, saya mempunyai pemain senior yang bagus seperti Baddrol, Zaquan dan Azamuddin Akil," katanya.

Jika ia berterusan, gah Kedah hanya akan tinggal nama sahaja manakala Aidil sendiri memberi bayangan untuk mengucap selamat tinggal buat pasukan itu musim depan.

"Kontrak saya akan tamat hujung tahun ini dan kami perlu tunggu apakah kesudahannya termasuk hala tuju saya pada tahun depan."