Fokus kami hanya di atas padang!

Demikian reaksi pemain senior Selangor, Razman Roslan, yang enggan memikirkan isu di luar padang susulan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengancam untuk The Red Giants menarik diri musim depan.

Semalam, FAS mencetuskan gempar apabila mahu menarik diri jika gagal mendapat RM15 juta sebelum sepak mula Liga Malaysia (Liga M), 21 Januari depan.

Naib Presiden FAS, Datuk Seri Subahan Kamal, berkata tindakan menarik diri terpaksa menjadi pilihan terakhir kepada Selangor demi menjaga kebajikan pemain.

Tatkala perkembangan itu mampu melumpuhkan persiapan pasukan, pemain dan jurulatih enggan cepat melatah apabila tetap berlatih seperti biasa pada hari ini.

"Sebagai pemain profesional, fokus kami hanya di padang tanpa memikirkan apa yang berlaku di luar.

"Bagi saya, kami hanya menunggu arahan dan keputusan daripada pihak pengurusan," ujar Razman yang beraksi di bahagian pertahanan.

Pemangku jurulatih Selangor, K. Gunalan, pula berpendapat, "Saya tidak mahu mengulas panjang hal ini.

"Semuanya terpulang kepada pihak pengurusan.

"Saya hanya menjalankan amanat yang diberikan oleh pihak pengurusan untuk membawa pasukan ini.

"Kami turun berlatih seperti biasa dalam tempoh tiga hari ini dengan kemunculan dua hingga tiga muka baru, jadi tumpuan kami adalah menjalani latihan."

Untuk rekod, Selangor menjadi pasukan ketiga yang ingin menarik diri selepas Kelantan dan Perlis ekoran kesempitan dana.