Walaupun Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sudah menetapkan tarikh 26 Ogos depan untuk menyambung semula Liga Malaysia (Liga-M), beberapa pasukan masih berdepan situasi sukar dan tidak memihak mereka.

Antaranya juara Piala FA 2019, Kedah, apabila barisan pemain dan jurulatihnya difahamkan masih belum menerima pembayaran gaji penuh sehingga kini.

Pengendali skuad Lang Merah, Aidil Sharin Sahak, percaya kemelut gaji yang belum menemui titik noktah itu berupaya menjejaskan perjalanan pasukannya musim ini, khususnya dalam persaingan menuju baki tujuh perlawanan Liga Super.

"Secara jujurnya, saya berasa bimbang.

"Setiap hari, saya bertemu pemain-pemain di padang latihan. Kami tidak mahu soalan mengenai gaji dibangkitkan," katanya ketika dihubungi.

Setakat ini, Aidil Sharin dan anak buahnya masih menanti untuk bertemu dengan kepimpinan tertinggi baru pasukan dari utara itu bagi mendapatkan perkembangan mengenai isu berkenaan.

"Setakat ini semua pemain bersikap baik dan profesional.

"Kami perlu memainkan peranan dan menunggu peluang untuk bertemu pihak pengurusan.

"Semangat berpasukan serta perpaduan dalam kalangan pemain membantu saya dan pengurusan untuk bertahan dan kekal utuh," katanya lagi.

What's up, what's up? ??

Posted by FA Kedah on Saturday, July 18, 2020


Sementara itu, PDRM FA -- yang kembali berlatih hari ini -- mendedahkan akan melakukan rombakan terutama di bahagian serangan yang membabitkan tonggak import menjelang sepak mula Liga-M.

"Dia (Antonio German) sudah kembali ke negaranya.

"Kami menganggap prestasinya tidak mencapai tahap yang kami mahukan.

"Secara dasarnya, dia bersetuju tetapi soal pampasan masih dibincangkan.

"Posisi beberapa pemain juga akan dirombak selain kemasukan pemain pinjaman dari Kedah yang boleh mengisi bahagian tengah," kata Pengurus PDRM, Datuk Khalil Azlan Chik,