Sarawak bakal mengikat dua pemain import, Lee Jong Ho dari Korea Selatan dan Mark Andrew Hartman dari Filipina bagi memperkuat jentera serangannya pada tahun depan.

Pengendali skuad Bujang Senang , David Usop berkata, kedua-dua pemain itu ketika ini telah menunjukkan keserasian dengan corak permainan pasukan Sarawak, dan mampu menampilkan aksi yang diperlukan.

Mereka merupakan dua daripada sembilan pemain import yang telah mencuba nasib dengan pasukan itu pada tahun ini, termasuk bekas pemain Sarawak 2013, Ivan Barbic dan penyerang Sabah dari Brazil, Everton Souza Santos.

“Ketika ini kami sedang mencari seorang lagi pemain import bagi mengisi kekosongan terakhir.

“Namun saya tidak akan tergesa-gesa membuat pilihan, kerana masih ada beberapa pemain menyatakan minat untuk membuat ujian dengan pasukan ini,” katanya.

Antaranya termasuklah seorang pemain dari Brazil yang kini beraksi untuk pasukan Semen Padang FC di Liga Indonesia, Marcel Sacramento.

“Kerana itu saya akan menunggu saat akhir sebelum membuat keputusan, kerana kami mahukan yang terbaik sahaja berada di atas padang.

“Ketika ini kedua-duanya paling menonjol, tapi kami belum memberikan komitmen sepenuhnya,” katanya.

Lee Jong Ho, 30 tahun, merupakan penyerang kelab Svay Rieng yang bermain untuk Liga Kemboja.

Lahir daripada Akademi Bola Sepak Paris Saint-Germain, dia pernah beraksi untuk Geylang International untuk tempoh semusim pada tahun 2013 sebelum kembali ke Korea Selatan untuk beraksi dalam Liga-K dengan pasukan Paju Citizen.

Mark Andrew Hartmann, 24 tahun pula merupakan pemain penyerang yang dilahirkan menerusi Akademi Bola Sepak Southampton, sebelum berpindah ke Portsmouth dan Swindon Town.

Selepas beraksi dengan Blackfield & Langley pada tahun 2010, dia berpindah ke negara asal ibunya, Filipina dan disunting Manila Nomads, sebelum beraksi untuk Moyola Meralco Sparks dan Global.

Dalam tempoh tersebut dia turut mewakili pasukan bawah 23 tahun dan pasukan senior Filipina sejak tahun 2011, sebelum dipancing oleh Geylang International untuk aksi Liga-S pada tahun ini.

Kontrak setahunnya dengan Geylang bagaimanapun tamat pada 1 Disember lalu dan sepanjang 11 kali bermain untuk pasukan itu, Hartmann berjaya menggegarkan jaring sebanyak lapan kali.

Menurut David, dengan tarikh tutup pendaftaran pemain adalah pada 31 Januari, masih banyak masa untuk memilih pemain yang benar-benar sesuai.

“Kami tidak mahu membuat pelaburan yang merugikan pada kali ini.

Jelasnya, dengan tujuh pemain tempatan digugurkan, skuad Sarawak yang baharu pada musim ini akan dianggotai oleh pasukan muda.

“Kami turut membawa masuk lima pemain Piala Presiden dan tiga pemain Liga Bola Sepak Rakyat bagi memenuhi kehendak pengurusan, yang mahu lebih banyak pemain tempatan.

Malah katanya, dalam panel kejurulatihan, beliau kini dibantu oleh Pangiran Bala sebagai Penolong Jurulatih bersama-sama Stanley Frazier, selain Abdul Wahed Uji, sebagai Pengarah Kejurulatihan.

Abdul Wahet Uji pernah memimpin pasukan Sarawak selepas era Awang Mahyan manakala Pangiran Bala pernah memimpin skuad Bujang Senang selepas era Abdul Jalil Rambli.