Ketua jurulatih Kuala Lumpur, Yusri Che Lah, mengesahkan bekas pertahanan Melaka United, Khair Jones, menjadi pemain terbaru yang menyertai skuad ibu kota itu selepas mengikat kontrak setahun bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Biarpun dilanda kontroversi penangguhan kongres, ia tidak menjadi penghalang kepada Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) untuk mempersiapkan pasukan.

Ia bagi menghadapi cabaran Liga-M 2019 yang akan bermula Februari ini.

Yusri mengharapkan kehadiran pemain berdarah campuran itu mampu menguatkan benteng pertahanan skuad The City Boys yang goyah sepanjang musim ini.

"Dengan kehadiran Jones, saya berharap dia dapat memanfaatkan kelebihan fizikal yang dimilikinya bagi memperkuatkan jentera pertahanan kami," katanya.

Selain Jones, bekas pertahanan Terengganu, Fitri Omar, bekas pertahanan Felcra FC, Alif Samsuddin, dan bekas penjaga gol Kelantan, Faridzuan Kamaruddin, adalah antara muka baru yang akan memperkuat pasukan itu musim depan.

Pemain tengah dari Jepun, Ryutaro Karube, dan penyerang dari Belanda, Sylvano Comvalius, merupakan pemain import baru pasukan itu.

"Kami mengambil lapan pemain baru bagi memperkuatkan pasukan musim depan.

"Daripada lapan pemain itu, dua daripadanya adalah pilihan saya," tambahnya.

Sementara itu, Jones mahu memanfaatkan sepenuhnya peluang menyarung jersi Kuala Lumpur selepas hampir tidak mempunyai pasukan musim depan.

Pemain yang pernah dipanggil menyertai skuad Harimau Malaya itu bertekad untuk membantu pasukan barunya itu menyerlah sebagai pencabar utama kejuaraan Liga Super 2019.

"Mereka mahu memiliki saya ketika Melaka mahu melepaskan saya.

"Saya amat lega kerana masih berpeluang untuk beraksi dalam Liga Super untuk semusim lagi.

"Saya tidak sabar untuk beraksi dan berharap kami dapat memaparkan aksi meyakinkan musim depan," katanya.