Sri Pahang 0 JDT 2

Johor Darul Ta'zim (JDT) mengukuhkan cengkaman di puncak Liga Super selepas menewaskan Sri Pahang FC 2-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan sebentar tadi.

Gol daripada Leandro Velazquez dan Bergson Da Silva dalam separuh masa berbeza sudah cukup untuk pasukan Harimau Selatan itu menambah tiga lagi mata di sebalik Sri Pahang terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada baki 20 minit terakhir.

Walaupun perlawanan sedikit tercemar dengan siri terjahan keras daripada kedua-dua pasukan, JDT mengambil pendekatan berani untuk memasukkan bintang utama mereka, Safawi Rasid, yang baru pulih daripada kecederaan, sebagai pemain gantian.

Skuad kendalian Benjamin Mora itu mempamerkan penguasaan total dengan beberapa percubaan berbahaya dalam babak pertama tetapi buntu untuk menghasilkan jaringan sehinggalah Velazquez menemui sasaran pada minit ke-23.

Menerusi kegagalan empat pemain Sri Pahang mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya, Velazquez memanfaatkan situasi kelam-kabut itu untuk merembat deras bola daripada hantaran ke belakang Afiq Fazail bagi meletakkan pasukannya di depan.

Aksi dalam babak kedua semakin hangat dengan kedua-dua pasukan saling berbalas asakan dalam aksi yang turut disulami terjahan-terjahan keras.

Kemuncaknya, Ezannie Mat Salleh diarahkan keluar padang selepas dilayangkan kad kuning kedua susulan tindakannya melakukan terjahan tinggi ke atas Gonzalo Cabrera pada minit ke-70.

Tidak lama selepas itu, JDT mengambil tindakan berani untuk memasukkan Safawi, yang tidak menunggu lama untuk mencetus impak dalam perlawanan itu menerusi gerakan liciknya, tetapi pasukan pelawat berkenaan hanya menemui jarigan kedua pada minit terakhir masa kecederaan.

Pendahulu senarai penjaring terbanyak musim ini, Bergson, menambah koleksi jaringannya kepada sembilan gol setakat sembilan perlawanan apabila gerakan satu duanya dengan Nazmi Faiz Mansor disudahkan dengan penyudah gemilang untuk penjaga gol, Zarif Irfan Hashimuddin, tertewas buat kali kedua.


? AKSI PERLAWANAN LIGA SUPER - LS9 SRI PAHANG FC 0-2 JOHOR DARUL TA’ZIM #LigaSuper2021

Posted by Malaysian Football League on Friday, 16 April 2021



Keputusan lain:
Liga Super
Terengganu FC 1-0 Kuala Lumpur City FC

Liga Perdana
Sarawak United 0-2 PDRM FC