JOHOR DARUL TA'ZIM 2 TERENGGANU FC 0
KEDAH 3 KUALA LUMPUR 2

Johor Darul Ta'zim (JDT) terus mengukuhkan kedudukan di puncak Liga Super selepas membenam cabaran Terengganu FC (TFC) 2-0 dalam aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.


Beraksi di laman sendiri, JDT mempertaruhkan Fernando Marquez selaku penyerang tunggal sambil dibantu oleh Gonzalo Cabrera dan Safawi Rasid di kedua-dua bahagian sayap.

Skuad kendalian Raul Longhi hanya memerlukan lapan minit untuk menceriakan penyokong apabila sepakan sudut daripada Fernando Elizari dari sebelah kanan disambut Marcos Antonio menerusi tandukan untuk menewaskan penjaga gol pelawat, Suffian Abdul Rahman.

Cabrera terus menceriakan skuad juara bertahan itu apabila menjaringkan gol kedua buat JDT pada minit ke-34, kali ini menerusi jarak dekat selepas menerima hantaran lintang pemain tengah, Hariss Harun.

Walaupun tuan rumah terpaksa beraksi dengan 10 orang pemain selepas Aidil Zafuan Abdul Radzak dilayangkan kad merah pada minit ke-72, namun TFC gagal mengambil kesempatan, sekali gus membenarkan JDT meraih kemenangan 2-0 di depan penyokong sendiri.

Dalam satu lagi aksi Liga Super, Kedah menamatkan rentetan dua kekalahan sebelum ini selepas menundukkan Kuala Lumpur 3-2 di Stadium Darul Aman.

Andik Vermansah membuka tirai jaringan buat Kedah pada minit ke-13 menerusi rembatan deras kaki kanan dari luar kotak penalti sebelum Akhyar Rashid melebarkan kedudukan pada minit ke-25.

Tujuh minit kemudian, giliran penyerang, Paulo Rangel, meletakkan nama dalam senarai penjaring selepas menyempurnakan hantaran leret pemain tengah, Liridon Krasniqi, untuk menjadikan kedudukan 3-0 sebelum Guilherme De Paula memberikan harapan buat skuad pelawat kendalian Fabio Maciel itu menerusi tandukan pada minit terakhir babak pertama.

Syafwan Syahlan merapatkan jurang buat pelawat pada minit ke-88 menerusi tandukan, namun kedudukan 3-2 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Kedah kini menduduki tangga keempat Liga Super dengan 27 mata sementara JDT terus gah di tangga teratas dengan kutipan 41 mata.


Kredit foto: Facebook Johor Southern Tigers