Juara Liga Super 2020, Johor Darul Ta'zim FC (JDT), menamatkan musim dengan rekod tanpa kalah selepas menewaskan Melaka United 5-0 dalam perlawanan terakhir mereka di Stadium Hang Jebat sebentar tadi.

Kali terakhir pasukan Harimau Selatan itu menamatkan saingan dengan rekod sama adalah dalam edisi 2016 tetapi saingan separuh musim edisi ini menyaksikan JDT menghimpunkan 29 mata hasil sembilan kemenangan dan dua keputusan seri.

Lima gol yang terhasil dalam tempoh 33 minit terakhir membuktikan skuad kendalian Benjamin Mora itu masih bernafsu untuk meraih kemenangan biarpun sudah dinobatkan juara lebih awal.

DUA KALI JUARA LIGA SUPER MALAYSIA TANPA KALAH ——— TWO-TIME UNDEFEATED MALAYSIA SUPER LEAGUE CHAMPIONS #Undefeated #Twice #7ConsecutiveMSLtitles #MalaysiaSuperLeague #LuaskanKuasaMu #JDT

Posted by JOHOR Southern Tigers on Saturday, 10 October 2020


Turun tanpa bintang utama skuad kebangsaan, Safawi Rasid, yang dipinjamkan ke kelab Portugal, Portimonense SC, JDT bagaimanapun buntu untuk menembusi gawang Melaka sepanjang babak pertama.

JDT mempamerkan peningkatan prestasi ketara dalam separuh masa kedua dan kemuncaknya tiba pada minit ke-70 apabila Leandro Velasquez menyudahkan sepakan penalti selepas Fernando Rodriguez dijatuhkan Annas Rahmat.

Berselang empat minit, giliran penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad, menempa nama selaku penjaring selepas bijak melepasi perangkap ofsaid sebelum menewaskan penjaga gol, Norazalan Razali, dalam situasi satu lawan satu.

Bermula daripada sepakan percuma Velazquez, pemain pertahanan, Aidil Zafuan Abdul Razak, melonjak tinggi untuk melakukan tandukan yang gagal diselamatkan Norazlan untuk memberikan JDT kelebihan tiga gol pada minit ke-79.

Lima minit kemudian, Rodriguez menamatkan penantian jaringannya musim ini dengan menanduk masuk umpanan gemilang Matthew Davies.

Keraian JDT tidak berakhir setakat itu apabila Gonzalo Cabrera turut mendaftarkan namanya selaku penjaring dalam waktu kecederaan.



Keputusan lain:
Petaling Jaya City FC 4 PDRM 1
Selangor 6 Felda United 1