Ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora, mengakui anak buahnya perlu meningkatkan prestasi selepas sekali lagi dipaksa berkerja keras sebelum menang tipis 1-0 ke atas PDRM dalam perlawanan Liga Super di Stadium KLFA malam tadi.

Ia kali ketiga JDT gagal meraih kemenangan selesa selepas menewaskan Kedah (1-0) dan UiTM FC (2-1).

"Terdapat banyak situasi yang dihadapi JDT.

"Salah satunya ialah pihak lawan cuba mengkaji cara permainan pemain JDT.

"Mereka sentiasa mencuba untuk memberikan sesuatu yang lebih baik berbanding kebiasaan.

"Ia perkara normal kerana JDT pasukan juara dan mahu ditewaskan," katanya.

Dalam perlawanan terbaru itu, JDT yang merehatkan Safawi Rasid mencipta beberapa peluang dalam babak pertama, namun usaha mereka digagalkan ketangkasan penjaga gol The cops, Bryan See.

Penjaga gol yang berkelana dalam Liga Thailand musim lalu itu tewas juga pada penghujung perlawanan menerusi sepakan penalti Diogo Luis Santo.

"Dalam bola sepak, kesilapan akan berlaku, terutama ketika di penghujung permainan," kata ketua jurulatih PDRM, Ishak Kunju.

"Apabila anda kepenatan, anda mempunyai kecenderungan untuk melakukan kesilapan.

"Secara keseluruhan, saya amat gembira dengan prestasi pemain.

"Mereka telah memberikan segala-galanya dan berjuang untuk bersaing dengan JDT seperti yang dirancangkan," katanya.