Dakwaan tersebar luas bahawa Johor Darul Ta'zim (JDT) akan kehilangan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Super musim ini kerana kemenangan 4-0 ke atas PDRM pada 16 Ogos lalu didakwa telah dipertikaikan.

Ia berikutan JDT menurunkan pemain yang memiliki tiga kad kuning, iaitu Juan Martin Lucero, ketika itu.


Laporan media mendedahkan PDRM telah menghantar bantahan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung apa yang didakwa kesilapan JDT menurunkan pemain yang sepatutnya digantung.

Bantahan itu didakwa dikemukakan PDRM kerana percaya ia memiliki hak berbuat demikian seperti mana aduan lewat Pahang terhadap Kedah di atas kesalahan sama, yang menjamin skuad Tok Gajah kekal dalam Liga Super musim depan.

Nadi Arena, bagaimanapun, tidak mendapat pengesahan rasmi daripada PDRM mahupun FAM mengenai bantahan itu.

Anehnya, Ketua Pegawai Eksekutif Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam, bingkas menunding jari ke arah FAM dengan mendakwa badan induk itu menjadi punca kepada isu yang sedang hangat diperkatakan ini.

"Jika keputusan berkaitan pasukan Pahang tidak dibuat, isu terbaru yang melibatkan JDT dan PDRM tidak akan timbul.

"Bagi saya, keputusan tersebut yang membuka pintu kepada isu yang berikut dan ia agak merumitkan keadaan," katanya.

Terdahulu, Jawatankuasa Tatatertib FAM memutuskan Pahang diberikan kemenangan percuma ke atas Kedah kerana menggunakan pemain yang sepatutnya menjalani penggantungan, Mohd Rizal Mohd Ghazali, ketika perlawanan Liga Super kedua-dua pasukan berkenaan pada 3 Ogos lalu.

Dalam masa yang sama, Kevin turut menafikan penglibatan FMLLP dalam membuat keputusan membabitkan apa-apa isu berbangkit.

"Isu-isu yang melibatkan hukuman, FLMMP sama sekali tidak terlibat. Badan kehakiman masih lagi FAM, di mana disiplin, status dan rayuan, jawatankuasa akan membuat keputusan berdasarkan rayuan atau bantahan daripada mana-mana pihak," jelasnya.

JDT menjuarai Liga Super musim ini dengan mengumpul 58 mata, 15 mata mengatasi Felda United.