Johor Darul Ta'zim (JDT) melakar kemenangan kelima musim ini dalam saingan Liga Super selepas membelasah pendatang baru, Melaka United, 7-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Disaksikan pemilik kelab dan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, skuad kendalian Benjamin Mora mempamerkan aksi sempurna di laman sendiri.

Bekas penyerang PKNS, Gabriel Guerra, membuka tirai jaringan seawal minit keenam sebelum kapten, Safiq Rahim, menggandakan jaringan 10 minit kemudian.

Lima minit kemudian, pemain tengah, Amirulhadi Zainal, meledak gol ketiga sebelum Gonzalo Cabrera menambah gol keempat pada minit ke-33.

Melaka, yang ketika ini hanya dibezakan satu mata dengan zon penyingkiran, langsung tidak menghadirkan sebarang ancaman terhadap kubu JDT.

Memasuki babak kedua, skuad kendalian Eric Williams sekali lagi dikecewakan dengan gol kelima JDT, kali ini menerusi bekas pemain sayap Pahang, Azamuddin Akil.

Bagaikan hilang arah, Safiq menyempurnakan malam yang sempurna buat JDT dengan gol keenam dan ketujuh pada minit ke-58 dan 87 sekaligus melengkapkan hatrik.

Kemenangan ini meletakkan JDT di kedudukan ketiga liga dengan 17 mata, dua mata di belakang pendahulu, Pahang dan Kedah.

JDT bakal bertandang ke Stadium Sultan Mohammed Ke-IV pada 12 April ini sebelum turun berdepan PKNS FC tiga hari kemudian.

Dalam perkembangan lain, Felda United terpaksa berputih mata di laman sendiri apabila tewas 1-0 kepada Pulau Pinang.

Meskipun beraksi di hadapan penyokong sendiri, Felda United dilihat bakal mengutip satu mata tatkala kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan memasuki minit ke-70.

Bagaimanapun, S. Kumaahran muncul wira buat Pulau Pinang apabila berjaya menyumbat gol tunggal perlawanan pada minit ke-79.

Ini merupakan kemenangan sulung skuad Harimau Kumbang musim ini di bawah kepemimpinan jurulatih baru, Zainal Abidin Hassan.