Johor Darul Ta'zim (JDT) mengukuhkan cengkaman di puncak Liga Super selepas menewaskan UiTM FC 4-0 di Stadium UiTM Shah Alam sebentar tadi.

Dengan kemenangan itu, skuad Harimau Selatan berkenaan kini mengumpulkan sembilan mata penuh daripada tiga perlawanan untuk berekelebihan tiga mata di depan Terengganu FC, yang akan bertandang ke laman Perak FC malam esok.

Gol daripada Arif Aiman Hanapi dan Gonzalo Cabrera dalam babak pertama serta jaringan Bergson da Silva dan Syamer Kutty Abba pada penghujung permainan sudah cukup untuk menceritakan dominasi JDT sepanjang perlawanan itu.

Penyerang muda berusia 18 tahun, Arif Aiman -- yang masuk menggantikan Safawi Rasid selepas penyerang negara itu mengalami kecederaan -- mencetuskan sensasi apabila membuka jaringan buat pasukan juara bertahan itu menerusi gerakan solo menariknya dari sebelah kanan pada minit ke-10.

Hanya lima minit diperlukan JDT untuk menggandakan kelebihan mereka apabila Cabrera mengekalkan ketenangannya untuk memanfaatkan bola yang gagal dikeluarkan pertahanan lawan daripada sepakan penjuru menerusi satu percubaan dari luar kawasan penalti.

Penyerang baru JDT, Da Silva, membuktikan betapa dirinya mampu diandalkan pasukan juara tujuh kali itu apabila mempamerkan kawalan bola menarik yang disusuli dengan gerakan satu-dua dengan Nazmi Faiz Mansor sebelum pemain gantian itu melepaskan rembatan leret yang menewaskan penjaga gol UiTM, Dominik Picak , buat kali ketiga pada minit ke-81

Sorang lagi pemain gantian, Syamer, turut menempatkan namanya selaku penjaring musim ini selepas menolak masuk hantaran Mauricio susulan hantaran lintang Safiq Rahim dalam waktu kecederaan.




Keputusan Liga Super
Johor Darul Ta'zim 4-0 UiTM FC
Melaka United 0-0 Sri Pahang FC
Selangor FC 1-1 Kuala Lumpur City FC
Sabah FC 0-1 Petaling Jaya City FC

Keputusan Liga Perdana
Kelantan United 2-1 Perak II
Johor Darul Ta'zim II 3-1 Kuching City FC
Negeri Sembilan 2-2 Terengganu II
PDRM 1-2 Kelantan FC