Juara Liga Super enam kali, Johor Darul Ta’zim (JDT), telah menyelesaikan urusan mengikat bekas pemain Kedah, Liridon Krasniqi, menjadikan dia pemain terkini menyertai pasukan tersebut.

Pengumuman itu dibuat jurulatih JDT, Benjamin Mora, dalam satu sidang media di Iskandar Puteri hari ini.

Mora berkata pemain berasal dari Kosovo itu akan didaftarkan sebagai pemain tempatan bulan depan selepas semua proses dokumentasi selesai.

Katanya, Krasniqi adalah aset kepada pasukan dan percaya pemain tengah itu akan dapat menyumbang kepada kejayaan pasukan berdasarkan pengalamannya.

“Dengan kualiti, skil dan karakternya, dia akan dapat sesuaikan diri dengan baik bersama JDT. Dia satu aset pasukan dan juga kepada pasukan kebangsaan.

“Ini amat penting untuk kelab, (Krasniqi) amat dikenali dan pemain yang bagus. Saya ucapkan yang terbaik untuknya di samping dia tahu apa yang diwakili, logo JDT dan identiti. Saya rasa dia akan lakukan yang terbaik untuk kami musim depan,” kata Mora.

Sementara itu pemain berusia 27 tahun itu melahirkan perasaan gembiranya untuk dapat menjadi sebahagian daripada sebuah pasukan ternama.

“Apa yang buatkan saya bersama JDT? Mudah untuk menjawabnya, kerana JDT adalah sebuah kelab terbaik di Asia Tenggara, kelab yang terbaik dengan impian yang besar, dengan program yang besar.

"Siapa yang tidak mahu menjadi sebahagian daripada kelab ini? (Terutamanya) bersama seorang pemimpin yang berjaya,” katanya.

Bekas pemain Kedah itu telah membantu pasukan Lang Merah menjuarai beberapa piala dari 2015 hingga 2018 sebelum menyertai Melaka tahun ini.

-- BERNAMA