Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT) Ulisses Morais, memuji pemain-pemain pasukannya selepas mempamerkan aksi hebat menewaskan Kelantan 3-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, malam tadi.

Walaupun telah mengesahkan kejuaraan sebelum ini dan sudah boleh meraikan kejayaan memenangi Liga Super selama empat tahun berturut-turut, ternyata JDT yang diketuai oleh kapten, Safiq Rahim, masih dahagakan kemenangan untuk dijadikan penutup aksi di laman sendiri dalam saingan liga musim ini.

Gol-gol daripada S. Kunanlan, Gonzalo Cabrera serta Safiq sendiri cukup untuk menggamatkan stadium yang dipenuhi oleh penyokong tegar skuad Harimau Selatan.

Bagi Morais, pujian harus diberikan kepada semua pemain yang langsung tidak menunjukkan rasa cepat berpuas hati dengan kejayaan yang sudah diraih.

"Saya gembira dengan persembahan pemain pada malam ini. Mereka tetap bermati-matian untuk menang walaupun sudah mengesahkan kejuaraan, jadi tahniah buat semua pemain," katanya.

Bagi ketua jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail, dia akur dengan kehebatan pasukan tuan rumah dan mengucapkan tahniah buat skuad JDT.

"Kami kalah di tangan pasukan yang serba lengkap dan baik.

"Apabila bertandang ke Larkin, kami tahu bahawa kesukaran sudah menunggu kami," ujarnya.



Gambar kredit: Facebook Johor Southern Tigers