JDT beri Selangor igauan ngeri di Iskandar Puteri

Oleh Muzaffar Musa 19 September 2020 12253
JDT beri Selangor igauan ngeri di Iskandar Puteri
Johor Darul Ta'zim FC (JDT) memberikan Selangor Igauan ngeri dengan kemenangan besar 6-1 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Putri sebentar tadi.

Dua jaringan daripada situasi bola mati yang dimanfaatkan Safawi Rasid dalam setiap babak selain masing- satu gol daripada Diogo Luis Santo dan Gonzalo Cabrera serta jaringan berganda Ramadhan Saifullah dalam babak kedua sudah cukup untuk menggambarkan betapa runtuhnya semangat pemain Selangor yang hanya mampu membalas menerusi jaringan sagu hati Rufinho Segovia pada lewat permainan. 

Turun tanpa beberapa pemain utama seperti Khairulazhan Khalid (penjaga gol), Syazwan Zainon dan Brendan Gan, Selangor pada awalnya dapat bersaing dengan JDT dalam babak pertama tetapi gol sepakan percuma Safawi dalam waktu kecederaan mengubah segala-galanya.

Pemain kidal itu melakukan sepakan lencong yang megakibatkan penjaga gol, Farizal Harun, sekadar terpaku untuk membenarkan gawangnya digegarkan lawan.

Hasrat Selangor untuk bangkit dalam separuh masa berikutnya musnah serta-merta sebaik pengadil, Zulkarnain Zakaria, memberikan sepakan penalti buat JDT yang disempurnakan Safawi biarpun Diogo kelihatan dijatuhkan Nicholas Swirad di luar kawasan penalti pada minit pertama babak itu.

Diogo kemudian mencatatkan namanya sebagai penjaring pada minit ke-64 sebelum seorang lagi penyerang import, Cabrera, turut menemui sasaran berselang tiga minit.

Pemain muda JDT, Ramadhan, menghasilkan jaringan berganda, masing-masing pada minit ke-72 dan 75 sebelum Segovia menjaringkan gol yang sudah tidak bermakna buat pasukan lawan itu pada minit ke-81.

Syamer Kutty Abba diarahkan keluar padang selepas mengumpulkan dua kad kuning pada penghujung perlawanan tetapi ia tidak mengubah sebarang keputusan perlawanan itu untuk JDT boleh mendabik dada dengan kemenangan besar di laman sendiri.



Keputusan lain:
Liga Super:
UiTM FC 2 Terengganu FC 1

Liga Perdana:
Pulau Pinang 2 Kuala Lumpur 1
Perak II 0 Negeri Sembilan 0

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen