Watak Jasazrin Jamaluddin ketika menggalas tugas sebagai penolong kapten pasukan musim lalu meraih perhatian pengendali Felda United, Nidzam Jamil, sehingga dipilih untuk menggantikan tempat Hadin Azman bagi edisi 2020.

Musim lalu, pemain tengah itu diberi kepercayaan untuk menggalas tugas sebagai kapten ketika Hadin tidak diturunkan dalam sesuatu perlawanan.

Namun, Nidzam mengakui mempunyai dua pemain yang memiliki perwatakan penting sebagai kapten yang mampu membantu meningkatkan motivasi rakan sepasukan seperti peranan yang dimainkan bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu selain penyerang Singapura, Khairul Amri Mohd Kamal.

Justeru, Khairul Amri dilantik sebagai penolong kapten skuad The Fighters yang akan menggalas tugas ketika ketiadaan Jasazrin.

"Saya gembira kerana dia bukan sahaja membawa watak itu ketika perlawanan, malah dalam latihan sekalipun.

"Tahun ini, saya boleh katakan Jasazrin akan menjadi ketua pasukan kelab untuk musim 2020 manakala Khairul Amri akan menjadi timbalannya.

"Kami percaya karakter kedua-duanya boleh membantu kami daripada segi motivasi," katanya.

Dalam pada itu, Nidzam optimis anak buahnya mampu membentuk persefahaman lebih awal musim ini berbanding tahun lalu yang menyaksikan barisan pemainnya mengharungi proses yang lebih panjang untuk membentuk keserasian.

"Saya gembira dengan pemain-pemain baru yang kami tandatangani.

"Dalam tempoh empat minggu ini, masih banyak lagi ruang yang perlu kami perbaiki untuk memahami satu sama lain.

"Pada musim lalu, kami hanya mula memahami satu sama lain sekitar April.

"Jadi, tahun ini saya harap kami dapat melakukannya lebih awal."



Editor: Shaiful Shamsudin