Kesilapan membenarkan pasukan pelawat, Johor Darul Ta'zim (JDT) mendahului dengan jurang jaringan tiga gol menjadi faktor utama skuad Tok Gajah gagal mengutip tiga mata dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, semalam.

Perkara itu diakui pengendali Pahang, Dollah Salleh, yang percaya ketiadaan beberapa tonggak utama dan rasa hormat yang terlalu tinggi terhadap pihak lawan menjadi faktor tambahan pasukan kendaliannya lambat panas dalam perlawanan ini.

Pengendali JDT, Benjamin Mora, pula berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan anak-anak buahnya walaupun beranggapan pendahulu liga itu sepatutnya mampu meledakkan paling kurang lima atau enam gol berdepan Pahang.

"Saya dapat menyaksikan barisan pemain telah bermain dengan baik ketika bertahan selepas mendahului perlawanan 3-2 dalam separuh masa pertama. Setiap pemain mengekalkan disiplin hingga tamat permainan kerana Pahang sentiasa berusaha untuk mendapatkan jaringan," kata Mora.

Kehadiran Safawi Rasid yang dimasukkan pada minit ke-60 untuk memperkuatkan jentera serangan JDT dilihat kurang berkesan dan gagal menambah sebarang jaringan buat JDT.

Bagaimanapun, anak jati Terengganu itu bertegas mahu memberikan komitmen penuh bersama JDT tanpa perlu memikirkannya perjalanan kariernya yang dijangka akan bersama dengan kelab dari Portugal, Portimonense FC.

"Buat masa ini, pihak pengurusan akan mengendalikan hal itu. Buat masa ini saya masih lagi memberikan yang terbaik bersama JDT. Sebarang perkhabaran akan dikongsikan setelah segalanya telah selesai," kata Safawi.