Penyerang muda Pulau Pinang, Jafri Firdaus Chew, membuktikan kesetiaan bersama negeri kelahirannya apabila mengakui telah menolak beberapa tawaran daripada pasukan lain untuk kekal menabur bakti bersama skuad Harimau Kumbang pada musim depan.

Jafri beraksi buat tahun pertama bersama Pulau Pinang musim ini selepas tamat perguruan bersama Harima Muda.

Dianggap aset pasukan, pemain berusia 19 tahun itu, bagaimanapun, gagal menyerlah, terutama pada awal musim apabila kerap duduk di bangku pemain simpanan.

Namun, itu tidak menghalang Jafri untuk memperjuangkan kariernya di Pulau Pinang walaupun cuba dipancing oleh beberapa pasukan lain.

"Kontrak saya dengan Pulau Pinang adalah selama dua tahun dan saya memilih untuk menyambung khidmat bersama mereka.

"Dalam masa yang sama, saya juga menerima tawaran lain, tapi hati saya masih bersama Pulau Pinang.

"Saya akan menunjukkan aksi terbaik untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama," ujar penyerang itu.

Jafri adalah antara 16 daripada 29 pemain yang dikekalkan skuad Pulau Pinang di bawah bimbingan pengendali baru, Ashley Westwood.

Dia kini berazam untuk lebih kerap beraksi dengan hasrat membantu Pulau Pinang menjadi antara pencabar kejuaraan musim depan.

"Masih awal lagi untuk bercakap tentang musim depan, tapi saya yakin rakan-rakan sepasukan boleh buat yang terbaik untuk musim depan."