Jadual Liga M 2018 bakal dimuktamadkan

Oleh Penulis Jemputan 11 Disember 2017 2486
Jadual Liga M 2018 bakal dimuktamadkan
Jadual keseluruhan Liga Malaysia 2018 akan dimuktamadkan pada hujung bulan ini -- itu jaminan Ketua Pegawai Eksekutif Uahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam.

Menurut Kevin, kekangan utama dalam memastikan tarikh perlawanan ialah gelanggang tempat sendiri setiap pasukan.

Antara pasukan yang kini belum memastikan laman sendirinya ialah Perak kerana Stadium Perak akan ditutup sementara untuk pengubahsuaian bagi temasya Sukan Malaysia (Sukma).

“Kami sedang bekerjasama dengan Perak untuk menyelesaikan kekangan mereka bagi mendapatkan stadium yang bersesuaian untuk saingan Liga M,” kata Kevin.

Satu perkembangan positif ialah pasukan seperti Kuala Lumpur besar kemungkinan akan beraksi semula di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur selepas empat tahun.

Namun, Kevin mengingatkan setiap pasukan perlu memastikan stadium yang digunakan mempunyai prasarana dan kemudahan mencukupi serta mencapai had pencahayaan lampu limpah stadium yang telah ditetapkan.

“1200 lux adalah had (pencahayaan) yang rendah berbanding dengan saingan liga di negara lain, yang memerlukan 1600 hingga 2000 lux. Saya berharap kesemua pasukan mencapai had yang telah ditetapkan,” katanya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen