Izrin Nabil Ismail mencatat sejarah sebagai individu paling muda dilantik Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pada usia 29 tahun.

FAS dan Izrin Nabil kini bertanggungjawab membangunkan bola sepak negeri itu memandangkan Selangor FC akan memberikan fokus kepada dua pasukan profesional dalam Liga Super dan Liga Perdana.

Mengulas mengenai pelantikannya itu, dia berkata kepada Nadi Arena: "Sejujurnya, saya tidak pernah memikirkannya (dilantik setiausaha agung FAS) tetapi saya ada mendengar mengenainya.

"Saya tidak fikir faktor umur terlalu penting kerana apa yang penting adalah tenaga dan minat anda terhadap tugasan ini.

"Mengenai FAS, sebelum ini pun kami sudah memainkan peranan besar dalam pembangunan akar umbi tetapi selepas ini, visi dan sasarannya sudah semakin jelas.

"Kami akan fokus kepada pembangunan akar umbi dan ia merangkumi semua bahagian kecuali peringkat elit.

"Senang cerita, bola sepak di peringkat elit akan diuruskan Selangor FC dan peringkat bukan elit seperti bola sepak amatur, semipro, bola sepak wanita dan futsal akan berada di bawah seliaan FAS.

"Bahagian pertama yang akan kami usahakan adalah bahagian bola sepak wanita.

"Kami mahu memartabatkan bola sepak wanita di Selangor," katanya.