Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin, kesal terhadap Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) yang mempertikaikan keberkesanan Peta Hala Tuju FAM 2019-2030 (F:30).

Hamidin berkata adalah tidak adil untuk PFAM membuat andaian bahawa F:30 tidak mampu digerakkan semata-mata atas sebab kegagalan segelintir pasukan tempatan menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain.

Menurutnya, tugas dan misi beliau di FAM adalah untuk meningkatkan tahap kualiti bola sepak negara secara menyeluruh dan peneraju bola sepak negara itu kini berada di landasan tepat untuk merealisasikan F:30.

"Mungkin hanya ada sedikit kesan (tunggakan gaji pemain) tetapi untuk beliau berkata mengenai keberkesanan pelaksanaan F:30, saya kira beliau sudah terlampau jauh.

"Jika pasukan kebangsaan layak ke Piala Asia 2023 (salah satu KPI F:30) apa yang mereka (PFAM) nak cakap nanti? Saya tidak pasti apa niat sebenar beliau. Saya di FAM betul-betul mahu naikkan bola sepak mengikut lunas-lunas bola sepak.

"Kami tahu keupayaan sendiri dan kami akan terus menaikkan (tahap bola sepak negara) di segenap aspek. Apa yang dikatakan mengenai F:30 itu, saya tidak setuju," katanya dalam sidang media selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PBJM) di Kelana Jaya, hari ini.

PFAM menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izham Ismail, Ahad lepas, mempersoalkan kemampuan merealisasikan F:30 dan Pelan Strategik 50 Tahun (Next50) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berikutan isu tunggakan gaji pemain dalam Liga Malaysia (Liga-M) yang mencecah RM6.4 juta secara keseluruhannya.

Pada masa sama, Hamidin turut mempersoalkan tindakan Izham yang membuat kenyataan melulu meskipun telah berhubung dengan FAM sebelum ini dalam usaha kedua-dua entiti itu menyelesaikan permasalahan yang dihadapi barisan pemain terlibat.

"Beliau (Izham) datang ke FAM Khamis lepas untuk berjumpa dengan Setiausaha Agung FAM (Stuart Ramalingam), selepas itu keluar dengan kenyataan sebegitu pada Ahad. Kalau masih ada masalah, beliau sepatutnya datang lagi sekali, bukan dengan cara seperti itu beliau ingin jadi popular.

"Kalau nak membantu biarlah usaha itu memberi faedah kepada semua, bukannya untuk cari kepentingan individu. Kami (FAM) masih bekerja keras dan pihak sekretariat saya tengah kenal pasti masalah yang melanda ini (tunggakan gaji) dan usaha itu masih berjalan sehingga hari ini," tambah beliau.

-- BERNAMA