Isu tunggakan gaji bola sepak Malaysia makin parah

Oleh Staff Writer 20 Disember 2018 3072
Isu tunggakan gaji bola sepak Malaysia makin parah
"Paling parah dalam sejarah", demikian rumusan boleh diperkatakan terhadap isu tunggakan gaji yang melanda sebahagian besar pasukan tahun ini sekali gus menimbulkan persoalan adakah Liga Malaysia masih mampu bernyawa pada musim 2019?

Terdapat 15 pasukan termasuk daripada Liga FAM masih belum melunaskan tunggakan gaji kepada pemain dan staf kejurulatihan yang terbabit.

Antaranya turut membabitkan beberapa pasukan berbelanja besar musim ini daripada saingan Liga Super dan Perdana.

Persoalannya, ketika masih belum melunaskan baki gaji musim ini, mereka seperti tiada perasaan malu untuk membentuk pasukan bagi hadapi saingan musim depan.

Jadi, adakah peraturan sedia ada terlalu longgar yang membolehkan mereka terus bertanding tanpa mempedulikan isu tunggakan gaji?

Terdapat beberapa pasukan terbabit seperti Pulau Pinang dan Perlis masih mempunyai kes sejak beberapa musim lalu yang belum diselesaikan.

Bertambah meruncing, terdapat pasukan seperti Kuantan FA dan Hanelang FC telah menutup operasi mereka.

"Kami dalam proses untuk membantu pasukan Liga Malaysia menyelesaikan masalah kewangan ini. Kami tidak mahu melihat saingan ini tenggelam tetapi saranan buat mereka adalah tidak terlalu bergantung dengan geran yang diberikan sebaliknya mendapatkan dana serta tajaan bagi menampung perbelanjaan," kata Ketua Pegawai Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen